Thursday, May 28, 2009

MENGAJAK MANUSIA KE JALAN TAQWA

Berhati-hati dengan kesenangan dan keselesaan kerana sejarah banyak menceritakan kepada kita akan kejatuhan sesebuah organisasi hatta sebuah empayra kerana kemewahan dan kesenangan yang melimpahruah. Jadi kejayaan perjuangan Islam bukan pada besar atau kecilnya organisasi tetapi pada kesatuan hati pendokongnya.

Saya selalu mengingatkan diri saya dan rakan-rakan seperjuangan agar berhati-hati apabila kesenangan mula memagari pergerakan kita. Kita akan mula disisih oleh kesenangan dari berkorban untuk perjuangan. Perjuangan adalah pengorbanan. Kita akan terkorban. Masa terkorban. Namun masa yang terkorban itu adalah habuah dan bekalan untuk kita di akhirat kelak. Wang ringgit perlu dikorbankan. Kita tak ada masa nak relak dan nak santai-santai kerana di luar sana begitu banyak perkara yang perlu dibaiki. Begitu banyak pesakit yang memerlukan rawatan. Ada yang sudah kronik dan ada baru terjebak di dalam konflik berkenaan.

Umat Islam dirasuk dan ditipu oleh musuh-musuh Islam dari pelbagai sudut. Istilah jihad, pengorbanan dan perjuangan disabotaj dan digambarkan suatu aktiviti yang salah, kejam dan melampau. Sedangkan hakikatnya jika semangat jihad dan pengorbanan dicabut keluar dari dada umat Islam, apa akan terjadi kepada masa depan umat Islam? Umat Islam akan jadi pasif, pengecut, dayus dan mementingkan diri sendiri.

Namun hakikat yang harus kita terima ialah pemikiran umat Islam dicemari dan dirosakkan sehingga umat Islam sendiri seakan memusuhi jihad dan perjuangan. Dakwah contohnya dipandang satu aktiviti yang tidak penting dan kononnya membantutkan kemajuan ummah. Hakikatnya bukan begitu, namun kerana dimomok dan dikaitkan dengan aktiviti melampau, akhirnya dakwah di pandang sepi dan merbahaya.

Sindrom malas dan mementingkan diri sendiri sedang menguasai minda orang Islam seluruh dunia. Orang besar kecil selesa bercuti dan bersantai-santai dengan keluarga daripada memikirkan masa depan umat Islam yang sedang teruk diganyang musuh-musuh Islam.

Usaha dakwah, bawa manusia kepada Allah perlu disertai dengan iltizam dan komitmen yang berterusan dari semua lapisan masyarakat. Kita perlu mengorbankan apa saja mengikut bidang-bidang yang kita terajui untuk mengembalikan kedukaan yang semakin mendalam ketika ini.

Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi. Surah Al-A'raaf ayat 23.

Bekerja untuk memperbanyakkan jiwa-jiwa taqwa adalah kerja sepanjang hidup kerana ia adalah warisan para Nabi dan para Rasul. Jalan ini adalah jalan yang dirintis dan ditebang tebas oleh para Nabi dan Rasul. Inilah jalan menuju Allah yang Esa. Menyeru manusia ke jalan ini adalah suatu kewajipan, ia adalah suatu jihad dan ia merupakan satu ibadah teras dalam kehidupan seorang muslim.

Bilal pernah ditanya oleh Rasullah SAW, hai Bilal mengapa engkau mendahuluiku masuk ke syurga? Sesungguhnya ketika aku masuk syurga ketika Isra', aku mendengar suara kasutmu di hadapanku. Maka bilal menjawab, wahai Rasulullah, tidak sesekali aku menyeru azan, melainkan terlebih dahulu aku melakukan solat dua rakaat dan tidaklah sesekali aku mengalami hadas, kecuali aku berwudhuk selepasnya dan kemudian mengerjakan solat dua rakaat sebagai kewajipanku kepada Allah.

Kampung buku dalam impian






Tunggu kelahiran sebuah kampung buku.

Tuesday, May 26, 2009

Pesta buku dan kampungbuku

Hari-hari berlalu dengan kerja-kerja yang datang bertimpa-timpa. Banyak yang hendak dilakukan untuk menyemarakkan media Islam. Namun hambatan tugasan melayan tetamu membuat kerja-kerja penulisan tercicir. sesuatu yang tidak baik. Namun itulah hakikatnya yang saya hadapi sejak beberapa tahun terakhir ini. Namun saya bersyukur dikurniakan Allah generasi pewaris anakanda ummu hani yang ligat berkarya. Saya berharap dia menjadi seperti padi semakin lebat buahnya semakin tunduk ia ke bumi. Berkarya untuk mendidik masyarakat namun alangkah baik jika ia lebih dahulu mendidik diri kita.

Seharian menghadiri mesyuarat buku sehingga tertinggal tugas-tugas di AV terutama menjenguk dan bertanya khabar di RTM yang tidak `mesra' lagi dengan produk baru. Saya menaruh harapan untuk menghasil drama-drama Islam namun ruang masih terhad.

Ada orang bertanya mengapa tidak memulakan langkah menerbitkan filem Islam? Ya jawapannya saya sedang berusaha ke arah itu. Semangat dan cita-cita tetap ada. Cuma banyak kengkangan yang perlu saya hadapi.

Mesyuarat pesta buku Frankfurt berlangsung di Maltrade. Pesta buku terbesar dari 14-18 Okt 09. Perbelanjaan hampir mencecah rm 15k namun suatu pelaburan yang baik untuk membawa buku-buku Islam ke peringkat antarabangsa.

Saya bercadang membuat penggambaran Kembara Buku bersama Syeh Munawar dan berharap PNM akan menjadi penerbitnya nanti.

KAMPUNGBUKU WHITE ELEPHANT

Dalam diam-diam, saya dan isteri sedang berusaha mengubah suai kedai di depan rumah untuk dijadikan dangau buku -kalau tak sesuai digunakan kampung buku. Namun konsepnya ialah menjual buku di kampung. Menarik bukan? Tunggu perkembangan dan boleh klik kampungbuku.blogspot.

Tuesday, May 19, 2009

Kota Buku

Petang Semalam 19 Mei, pengistiharan resmi Kota Buku oleh TPM selepas lebih 5 tahun pemain industri buku memperjuangkannya sejak Najib merasmikan penubuhan Dewan Industri Buku Melayu Malaysia.

Semoga industri buku di Malaysia terus semarak.

8.00 mlm. bertemu dengan Sanusi Junid. Ingatannya masih hebat seperti dulu. Masih teringat beliau akan cerita-cerita lama.

Monday, May 18, 2009

Kunjungan sahabat lama major sulaiman

Pagi ini saya dikunjungi sahabat lama major Sulaiman Kutty. Kami berbincang panjang mengenai Bosnia Herzegovina, pertama kali saya menjejakkan kaki ke sana pada tahun 1996 dulu. Sungguh keindahan Bosnia memukau sesiapa saja terutama alam semulajadi tasik, bukit bukau, sungai dan padang ragut ciptaan Allah yang luar biasa.

Ingatan Major apa yang berlaku di sana juga sedang berlaku di negara kita. terhakisnya kuasa otonomi bangsa asal negara berkenaan. Di negara, survival bangsa Melayu tercabar dan tercalar. Orang Melayu berpecah berai dan bangsa lain memberi tekanan yang bukan sedikit.

Bosnia Herzegovina jauh di mata namun realitinya iktibarnya di depan mata.

REMANG SENJA MENJELANG MALAM

Panas sepanjang hari akhirnya menurun sebaik petang semakin lanjut menuju senja. Dan sekejap lagi malam gelap akan menyusul. Itulah diri kita di hujung petang menjelang malam di usia remang-remang senja. Di saat ini banyak yang hendak diselesaikan sementara menunggu malam yang mendatang. Itulah kita di saat begini, apakah seharian berhempas pulas boleh dibawa sehingga ke malam nanti? 

Apakah semua yang dilakukan menjadi ibadah, bekalan kekal abadi di akhirat. Kerja-kerja ditangan masih belum dapat diselesaikan, masih menunggu sentuhanku. Juga perancangan yang perlu terus dilakukan. Sesungguhnya dalam kerdil remang-remang senja terasa masa semakin lewat dan tugas untuk agama Allah semakin mencabar. 

Singa globalisasi menelan dengan rakus apa yang melintas di hadapannya. Tanpa perancangan dan yang paling utama tanpa bantuan Allah SWT, mana mungkin kita berhadapan dengan ledakan budaya baru yang tiris masuk ke dalam jiwa anak-anak muda kita. Sungguh remang senja menjelang malam mengingatkan kita bahawa cabaran besar menunggu kita kerana ketika malam di sini, di barat sana hari masih siang..! Singa-singa sedang kelaparan berkeliaran di mana-mana tanpa sempadan.

Bolehkah engkau tidur dengan nyenyak pada malam ini wahai diri..!

Saturday, May 16, 2009

MENGURUNG DIRI

Ketika kawan-kawan menghabiskan masa di luar, saya mengurung diri di dalam bilik seharian untuk menyelesaikan kerja-kerja penulisan yang tertangguh. Pagi-pagi bang Pi di kampung menelefon mengajak minum pagi-pagi begini. Kebiasaannya hari Sabtu, saya berada di kampung tetapi minggu ini tak balik. Ada kerja-kerja urgent yang belum selesai. ``Datin' panggilan kepada isteri saya selepas saya mendapat `datuk' terpaksa melayan keluarga baru kami yang semakin meriah sepanjang hari. Setiap pagi keluarga baru menghadiahkan antara 8 hingga 12 biji telor sehari. Begitulah hidup di kampung. Ada peluang nak pelihara ayam itik, tapi di kota keadaan tidak mengizinkan.

Esok bakal berlangsung pertemuan rakan-rakan seperjuangan bagi memulakan penubuhan Konsortium Kabilah Ehsan. Hari ini juga encik Halim memasuki Mekah untuk menunaikan umrah. Semoga perjalanannya diberkati dan dapat menyampaikan salam saya dan rakan-rakan kepada Rasulullah SAW di Madinah.

Friday, May 15, 2009

selamat hari guru

selamat hari guru

semoga keikhlasan sentiasa menyemarakkan lagi pengorbanan rakan-rakan di seluruh institusi pendidikan seluruh negara.

Sekali jadi cikgu selama-lamanya tetap cikgu.

AZAM SAMBUT HARI LAHIR KE 52

Semalam hujan turun renyai-renyai ketika rakan-rakan berkumpul di pejabat untuk membincangkan acara pertemuan Konsortium Kabilah Ehsan, suatu usaha untuk merapatkan silatulrahim dengan kawan-kawan seperjuangan


Sebelah pagi tadi, jumaat, saya dan yusri mengunjungi DBP, juga perbincangan dengan rakan-rakan dalam industri buku bagi menubuhkan sebuah konsortium untuk membantu memasarkan buku-buku Dana Industri buku negara.


Esok 16 mei, sambutan hari guru di Terengganu dan sebelah malam ada jemputan majlis perkahwinan pelakon Zamarul. Tahniah dan selamat pengantin baru Zamarul.


ayahanda Allahyarham

Hj Morad Awang kembali
ke rahmatullah 7.30 pg

13 Mac 2006

Sempena usia menjangkau 52 tahun, aku berazam untuk mengaktifkan kerja-kerja penulisan terutama menyiapkan buku-buku yang terbengkalai. Ini termasuk catatan perjalananku SYAHADAH dan buku kembara Haji yang masih belum dapat dicetak.
Juga novel Cinta Sempadan masih belum selesai walaupun sudah 4 tahun, aku menulis. Syukurlah Allah anugerahkan bakat menulis kepada ummu Hani, anakanda sulung yang mempunyai kekuatan tersendiri berbanding dengan abahnya.
Namun agenda syarikat juga perlu ditangani dengan baik. Ramai anak-anak buah/staf yang berhenti sampai 7 orang. Mereka memilih untuk berpindah. Saya mendoakan mereka berjaya di tempat baru , meneruskan amanah yang Allah berikan dengan bakat dan kebolehan yang Allah pinjamkan sementara. Bergelutlah kerana masa sungguh singkat di sini.
Saya sedih kerana tidak dapat memberi yang terbaik untuk mereka, namun mereka beruntung kerana di sini mereka dapat menimba pengalaman dan pengetahuan baru sebelum berhijrah ke syarikat lain. Saya akan meneruskan tugas-tugas saya di syarikat ini. Dan mereka akan memainkan peranan mereka di tempat baru.
Hari-hari mendatang cukup mencabar. Hanya mereka yang berani saja mampu berhadapan dengan taufan globalisasi. Namun kita perlu ingat, setiap orang mempunyai kelebihan tersendiri yang Allah anugerahkan kepada hamba-hambanya. Jika kelebihan ini digabungkan, ia bakal melahirkan suatu kuasa baru yang mampu bersaing di peringkat yang lebih hebat. Oleh itu kepada staf saya, saya lebih suka melihat potensi diri daripada mencari kelemahan diri seseorang. Jika kelebihan ini dapat disatukan ia merupakan aset yang besar kepada perjuangan media Islam di era globalisasi ini.






11.00 malam.

DARI CIKGU KEPADA DATUK



DARI CIKGU KEPADA DATUK
Petang ni tok wan berkereta bersama rombongan mengunjungi Auni Hafsah cucu kesayangan tok Wan di semenyih. Sudah bergelar tok wan rupanya Abu Hassan Morad. Datin( gelaran baru untuk isteriku apabila aku dapat datuk) telefon memberitahu dia tak dapat datang. Ada kerja-kerja yang belum selesai di premisnya. Sungguh dalam seminggu ini dari cikgu kepada datuk. Ucapan selamat harilahir, panjang umur murah rezeki datang dari anak-anak murid Maahada dan SMAKL. Rindu tak jumpa dengan Yassin, tiba-tiba dapat email daripadanya.Terima kasih kalian, kalian tetap di hati saya.Maaf tak sempat nak membuka facebook.


Seminggu sebelum itu rakan-rakan menyampaikan ucapan tahniah kerana sudah dianugerahi datuk. Auni lahir ke dunia, cucu sulung saya. Kemudian minggu ini 16 Mei, ucapan selamat hari guru pula memenuhi email dan sms daripada anak-anak murid. sungguh terharu, sekali jadi cikgu sampai bila-bila jadi cikgu.

Berkereta dari Semenyih menuju Ke Kota Damansara. Sempat melalui DUKE- Damansara Ulu Klang Expressway untuk menghantar Kak Aliah. Alangkah baiknya jika Najib memberi tumpuan untuk membaiki sistem pengangkutan awam di negara ini terutama kota Kuala Lumpur dalam sasaran kerja beliau.

Ketika Pak Lah mula berkuasa dulu, dia juga menjanjikan perkara yang sama tetapi tidak ke mana. Puduraya terus bersarang dengan ulat-ulat. Bas menurun penumpang di tepi jalan. Teksi ikut suka letak harga. Kemalangan jalanraya dan pelbagai lagi rungutan yang cukup memualkan kita semua.
Pun isu kemudahan awam tidak begitu panas kerana ia hanya melibatkan golongan bawahan jadi sekejap berkocak kemudian tenang kembali. Yang tak tenangnya warga kota yang terpaksa melalui hari-hari menyiksakan apabila mahu menggunakan kemudahan awam. Juga yang lebih mengganggu fikiran kita ialah berkecamuknya politik orang Melayu.

Suatu ketika orang Melayu selalu berbangga bahawa politik negara ini di tangan mereka tetapi hari ini keadaannya sudah berbeza. Malaysia sudah berbeza. Pak Lah membawa dasar yang cukup membahayakan masa depan orang Melayu. Ketika mahathir mudah sekali bangsa lain menghormati hak orang Melayu tetapi sejak Pak Lah dan berlarutan sehingga Najib, keadaannya tidak memihak kepada orang Melayu.

Ketika ahli politik PKR mengugut akan meletakkan jawatan dan bagi membolehkan di ada pilihanraya semula, tiga hari selepas itu, dengan penuh hormat dia diistihar tidak membahayakan lagi kepada keselamatan negara. Bahkan bukan itu saya Uthayakumar menempelak menteri dan tidak akan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan. Depan-depan dia memalukan pemerintah.

Sebaliknya beberapa orang Melayu yang sudah 7 tahun di tahan ISA, sedikit pun tidak diberi perhatian dan belas kasihan dan dicap lagi sebagai membahayakan keselamatan negara. Sungguh malang orang Melayu ketika di tangan pemerintah orang Melayu.Berlaku adillah.

Subuh ustaz sahid, imam masjid Ghufran membacakan beberapa hadis mengenai peristiwa akhir zaman antaranya akan terbit dajal dan kuncu-kuncunya dan mereka berusaha untuk merampas kota Madinah namun Allah gagalkan hasrat mereka.

Seminggu ini saya agak sibuk menyelesaikan dokumentari khas haji iaitu memproses bahan-bahan mentah yang kami perolehi ketika berkunjung ke tanah suci tahun lalu. Juga produksi Panggilan Agung dan Belajar Bahasa Arab Hijaz untuk THaji juga sedang rancak shootingnya.

Kerja-kerja dakwah tidak boleh sesekali surut kerana jika kita surut, musuh-musuh Islam akan menapak. Setapak kita susut, setapak musuh melangkah. Medan perjuangan semakin luas dan kompleks. Ia memerlukan tokoh yang hebat bukan saja pada fizikal, kebolehan bertutur, pemikiran yang hebat tetapi yang lebih penting ialah iman. Jiwa yang bersih seperti magnet dan ia akan mampu menarik manusia kepada kebaikan.

Kerja-kerja melahirkan manusia yang hebat di hati adalah tugas dan tanggungjawab yang harus dipikul bersama.

InsyaAllah teruskan perjuangan.




Astana karya