Thursday, May 28, 2009

MENGAJAK MANUSIA KE JALAN TAQWA

Berhati-hati dengan kesenangan dan keselesaan kerana sejarah banyak menceritakan kepada kita akan kejatuhan sesebuah organisasi hatta sebuah empayra kerana kemewahan dan kesenangan yang melimpahruah. Jadi kejayaan perjuangan Islam bukan pada besar atau kecilnya organisasi tetapi pada kesatuan hati pendokongnya.

Saya selalu mengingatkan diri saya dan rakan-rakan seperjuangan agar berhati-hati apabila kesenangan mula memagari pergerakan kita. Kita akan mula disisih oleh kesenangan dari berkorban untuk perjuangan. Perjuangan adalah pengorbanan. Kita akan terkorban. Masa terkorban. Namun masa yang terkorban itu adalah habuah dan bekalan untuk kita di akhirat kelak. Wang ringgit perlu dikorbankan. Kita tak ada masa nak relak dan nak santai-santai kerana di luar sana begitu banyak perkara yang perlu dibaiki. Begitu banyak pesakit yang memerlukan rawatan. Ada yang sudah kronik dan ada baru terjebak di dalam konflik berkenaan.

Umat Islam dirasuk dan ditipu oleh musuh-musuh Islam dari pelbagai sudut. Istilah jihad, pengorbanan dan perjuangan disabotaj dan digambarkan suatu aktiviti yang salah, kejam dan melampau. Sedangkan hakikatnya jika semangat jihad dan pengorbanan dicabut keluar dari dada umat Islam, apa akan terjadi kepada masa depan umat Islam? Umat Islam akan jadi pasif, pengecut, dayus dan mementingkan diri sendiri.

Namun hakikat yang harus kita terima ialah pemikiran umat Islam dicemari dan dirosakkan sehingga umat Islam sendiri seakan memusuhi jihad dan perjuangan. Dakwah contohnya dipandang satu aktiviti yang tidak penting dan kononnya membantutkan kemajuan ummah. Hakikatnya bukan begitu, namun kerana dimomok dan dikaitkan dengan aktiviti melampau, akhirnya dakwah di pandang sepi dan merbahaya.

Sindrom malas dan mementingkan diri sendiri sedang menguasai minda orang Islam seluruh dunia. Orang besar kecil selesa bercuti dan bersantai-santai dengan keluarga daripada memikirkan masa depan umat Islam yang sedang teruk diganyang musuh-musuh Islam.

Usaha dakwah, bawa manusia kepada Allah perlu disertai dengan iltizam dan komitmen yang berterusan dari semua lapisan masyarakat. Kita perlu mengorbankan apa saja mengikut bidang-bidang yang kita terajui untuk mengembalikan kedukaan yang semakin mendalam ketika ini.

Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi. Surah Al-A'raaf ayat 23.

Bekerja untuk memperbanyakkan jiwa-jiwa taqwa adalah kerja sepanjang hidup kerana ia adalah warisan para Nabi dan para Rasul. Jalan ini adalah jalan yang dirintis dan ditebang tebas oleh para Nabi dan Rasul. Inilah jalan menuju Allah yang Esa. Menyeru manusia ke jalan ini adalah suatu kewajipan, ia adalah suatu jihad dan ia merupakan satu ibadah teras dalam kehidupan seorang muslim.

Bilal pernah ditanya oleh Rasullah SAW, hai Bilal mengapa engkau mendahuluiku masuk ke syurga? Sesungguhnya ketika aku masuk syurga ketika Isra', aku mendengar suara kasutmu di hadapanku. Maka bilal menjawab, wahai Rasulullah, tidak sesekali aku menyeru azan, melainkan terlebih dahulu aku melakukan solat dua rakaat dan tidaklah sesekali aku mengalami hadas, kecuali aku berwudhuk selepasnya dan kemudian mengerjakan solat dua rakaat sebagai kewajipanku kepada Allah.

1 comment:

wardah munirah said...

terima kasih atas tulisan ini, cikgu. semoga dirimu dirahmati dan beroleh kesihatan yang baik.