Buatlah
yang baik-baik kepada kawan kita dan ajak mereka dekatkan diri
pada kebaikan menggunakan kaedah yang penuh hikmah.
Tanda
Allah sayangkan kita ialah apabila kita diuji dan ujian itu mendekatkan diri
kita kepada-Nya. Ketika diuji kita ingat Allah. Kita sebut dan puji Allah. Kita
beristighfar banyak-banyak apabila diuji, kena musibah dan berada di dalam
kesusahan. Ujian susah... mungkin tak sama kesusahan anak dengan emak atau
ayah, bahkan dengan tuk wan dan nenek di kampung.
Darjah kesusahan itu
berbeza. Tuk dan tuk wan perlu bergelumang dengan hutan rimba sebelum mendapat
tanah untuk dibuat rumah. Namun kita di zaman ini, kesusahan kita tidak terarah
ke situ. Mungkin susah nak mengawal nafsu kita. Semua perkara ada di hadapan mata kita. Ada wang
apa pun boleh jadi, kata orang. Tetapi benarkah begitu? Ramai yang terpedaya
dengan wang dan akhirnya terjebak dengan perkara yang tak elok, membazir dan membuat
dosa.
Katakan nak beli
pakaian. Keperluan mungkin sehelai dua dan cukup yang sederhana. Tetapi kerana
kita mempunyai wang, kita beli pakaian dua tiga helai dan pilihan pula yang
mahal-mahal sehingga nilai wang sudah menjadi rendah dan kita membazir. Ujian
dalam kesenangan. Kita pun buat perkara yang tak betul.
Antara ujian yang
paling sukar untuk kita buat keputusan ialah ujian berkawan. Apabila sudah
berkawan, kita sering terperangkap untuk mengambil hati kawan. Menjaga hati
supaya tidak berlaku konflik dengan kawan kita. Kita ikut kata kawan kita.
Kadang kala perkara itu tak betul tetapi
kerana nak jaga hati kawan-kawan, kita pun kata betul. Jadi syaitan pun
`berdrama’ dengan kita ambil kesempatan atas kelemahan kita. Kita akhirnya
menjadi manusia yang tidak
betul dan terlajak melakukan perkara-perkara yang ditegah dan dilarang oleh
agama kita.
Berkawanlah ikut
Rasulullah s.a.w. Berkawan untuk ajak kawan jadi baik. Berkawan dengan niat
untuk samasama jadi orang ikut perintah Allah, bukan sebaliknya. Berkawan untuk
masuk syurga. Niat nak perlu dijaga sungguh-sungguh kerana maklumlah dalam
berkawan ni kadang kala orang ajak kita buat perkara tak senonoh. Jangan ingat
kita saja ada niat, kawan pun ada niat-niat yang kita tak faham dan mengerti.
Jadi berhati-hati.
![]() |
Betul-betul apabila berkawan |
Perjalanan dalam
berkawan ni panjang bahkan bukan sahaja kita hendak berbaik-baik,
tolong-menolong di dunia tetapi kita hendak jumpa dia di syurga nanti. Kita dan
dia saling faham-memahami dan sering berbuat sesuatu untuk faedah bersama.
Bukan pula berkawan untuk saling jatuhmenjatuhkan atau saling memfitnah dan
hasad dengki. Ini bukan kawan lagi tapi dah jadi
musuh dalam selimut. Berkawan tapi tak ikhlas. Kita mungkin akan tinggalkan dia
dan cari kawan baru. Tapi kawan yang kuat jiwa macam Rasulullah s.a.w. tetap akan
bekerja keras untuk membawa kawan itu kembali kepada cahaya sebenar, selamat
dan bertaubat.
Itulah Rasulullah
s.a.w. Orang baling dengan najis, lontar dengan duri, tapi baginda tetap steady,
kuat jiwa,
tak terusik dengan segala ujian di dalam
perjuangan. Berkawan adalah satu perjuangan. Barulah dua-dua dapat
pahala. Kawan jadi baik, kita dapat pahala. Kawan jadi sebaliknya, dapat
pahala. Yang penting kasih dan sayang itu jatuh ke hati. Diikat kerana Allah s.w.t. Kadang kala kita
perlu bersusah payah kerana kawan. Inilah kawan sejati. Watak ini bukan mudah
dan ia anugerah Allah s.w.t. kepada seseorang. Cuma bezanya, bolehkah kita
gilap bagi jadi elok dan bercahaya? Bolehkah kita istiqamah dalam berkawan?
Bolehkah kita bersusah payah kerana kawan kita
tanpa memikirkan ganjaran dan habuan yang bakal kita perolehi kecuali keredhaan
Ilahi?
Katakan kawan kita kesusahan jauh
di selatan tanah air. Rumah kita di utara, perlu ‘drive’ beratus
kilometer untuk datang jenguk dia. Sanggupkah kita? Ini bukan boleh buat-buat.
Kalau bukan datang dari hati, ia tak menjadi. Kelebihan watak begini ada pada abang
sulung saya. Selalunya saya tewas dengan dia kalau bab berkawan dan menjaga
adab berkeluarga. Kalau ada kematian, sakit demam, dia yang sampai dulu
daripada saya. Kalau ada keluarga yang sakit tua, dia berulang-alik tidak
mengira jarak jauh dekat untuk menjenguk si sakit sehingga setiap kali saya
sampai ke sana, keluarga si sakit akan menyebut tentang kedatangan abang sulung
sayaini yang berulang kali menziarahi si pesakit.
Kadang kala kita berkawan kerana sebab
tertentu. Katakan kita suka pada adiknya, jadi kita berkawan dengan abangnya.
Kita terputus hubungan dengan adik, kita pun tak jadilah rapat dengan abangnya.
Ataupun dia tu berjawatan tinggi atau ahli politik yang kita ada kepentingan
nak guna dia. Jadi kita pun berbaik-baiklah dengan dia. Bukan itu saja, sanggup
buat apa saja asalkan matlamat kita tadi tercapai.
Kadang kala tu sampai melanggar hukum-hakam.
Dia tak solat Asar, maka kerana nak jaga hati dia, kita pun ikut sama tak solat
Asar. Ini semua boleh berlaku kerana ada kepentingan lain. Orang kata ada udang
di sebalik mi yang sedap tu. Niat dah tak betul. Berkawan tapi ada cita-cita
tersirat yang mengotorkan tali persahabatan kita. Nak tau ikhlas atau tidak
apabila apa yang dihajat tak diperolehi, maka dia pun mula perlahan-lahan
menarik diri. Apatah lagi kalau sampai jatuh sakit, susah, lagilah bawa diri
jauh-jauh, takuttakut kena bawa keluar belanja dan menyusahkan dirinya.
Kawan-kawan begini cukup banyak terutama
di kalangan ahli politik. Masa dia berkuasa, kawan-kawan ‘mi segera’ ini macam
lalat hurung bangkai. Di pejabat, di rumah, di mana-mana ada majlis, penuhlah `kawan-kawan’
segera ini menghimpit di sana-sini, mencari habuan apa yang patut. Tetapi
sebaik sahaja dia kalah dalam pemilihan atau tidak lagi jadi wakil rakyat,
perlahan-lahan terkuakkuaklah juak-juak politik tadi dari sekecil-kecilnya
iaitu orang kampung sampailah kepada kawan rakan di peringkat tinggi. Inilah ‘drama
in real life’ yang boleh kita tonton sepanjang masa. Allah
pertontonkan kepada kita supaya jadi iktibar dan jangan ulangi cerita-cerita
tersebut. Berkawan hendaklah berkawan betul-betul.
Buatlah yang baik-baik kepada rakan
kawan kita. Ajaklah mereka untuk dekatkan diri pada kebaikan terutama dalam
urusan ibadah. Gunalah kaedah yang penuh hikmah kerana kawan-kawan kita ini
datang dari latar belakang yang berbeza. Ada yang mudah didekati dan mudah untuk terima perubahan tetapi
ramai juga yang sebaliknya. Teruskan niat murni tersebut kerana orang yang
bijak berkawan akan terkenal di langit, Allah akan memuliakannya dan
mengangkatnya beberapa darjat kemuliaan yang tiada pada orang lain. Buatlah
betul-betul. ✻
cikguahm@yahoo.com
No comments:
Post a Comment