Sunday, January 27, 2013

Bah Besar dan PIP



Apakah kita masih mengajar anak-anak kita mengejar A daripada mengejar keredhaan Allah?



Awal tahun, ibu bapa sibuk menyelesaikan urusan persekolahan anak-anak. Ada yang berpindah ke tempat baru, memasuki asrama atau baru melangkah ke alam persekolahan.

Sekurang-kurangnya menyelesaikan keperluan asas anak-anak pada awal tahun seperti menyediakan pakaian, alat tulis dan membayar yuran-yuran persekolahan berkaitan. Nun di selatan tanah air, saudara-saudara kita di Johor pula bergelut dengan air banjir luar biasa yang mengakibatkan banyak kawasan kelihatan seperti kawah besar yang dipenuhi air.

Ujian pada awal tahun ini memerlukan kesabaran, ketenangan, keredhaan yang tinggi; menerima hakikat kejadian yang Allah datangkan sebagai ujian di dalam kehidupan. Jika kita sabar dan redha, di situlah ada kemanisan iman, peningkatan takwa seorang hamba yang Allah kurniakan di sebalik limpahan air yang luar biasa itu.

Sejauh mana tarbiah agama yang diberikan kepada anak-anak kita?


Firman Allah: “Sesungguhnya orangorang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (Az-Zumar: 10) Anak isteri, harta benda dan sebagainya Allah jadikan sebagai sebahagian pakej bagi menguji sejauh mana kita dapat menerima takdir dan ketentuan Ilahi dengan lapang dada dan penuh kerelaan. Bukan mudah. Kembali dari Tanah Suci, tiba-tiba melihat rumah dihanyutkan air.

Bukan mudah menerima kenyataan perabot, barang-barang berharga yang dibeli dengan wang yang terpaksa
dikumpul bertahun-tahun, rosak dalam sekelip mata. Bukan mudah menerima kenyataan dokumen diri dan ahli keluarga serta kenderaan tidak dapat digunakan lagi. Ujian yang menunggu selepas air surut akan lebih panjang berbanding dengan saat berada di pusat perpindahan banjir.

Ujian ini dirasai secara langsung oleh penduduk Johor dan negeri-negeri lain yang terjejas akibat banjir, tetapi ujian ini juga sebenarnya adalah untuk kita yang selamat di tempat-tempat lain.

Ujian Bagi Orang Beriman 

Orang beriman akan merasai musibah yang berlaku pada saudara-saudara seagama seperti sebatang tubuh. Ini kita sudah ketahui, maka sejauh mana apa yang kita pelajari dan yakini, kita tunaikan di saat begini. Sejauh mana kita dapat memperlihatkan kasih sayang dan pengorbanan saudara seagama sebagai sebuah bangsa yang beriman dan bertakwa.

Sejauh mana kita boleh `mengalihkan’ perbelanjaan yang tidak berfaedah dan tidak perlu kepada saudara-saudara kita di Johor. Kalau dulu keluar bersiar-siar dan duduk di hotel lima bintang, duduklah di hotel tiga bintang. Wang yang hendak dibelanjakan untuk barang-barang tak perlu disalurkan kepada saudara-saudara kita di Johor. Inilah saat untuk membuktikan keimanan kita bagi yang tidak kena musibah tersebut. Inilah
masa nak rebut kasih sayang Allah, membuktikan ukhwah Islamiah yang tulen, bukan sekadar slogan.

Ketika Johor masih digenangi air, Kementerian Pelajaran melancarkan misi Pelan Induk Pembangunan
Pendidikan Negara (PIPP) untuk tempoh 2006 hingga 2010. Gagasan bagi mencapai sasaran Wawasan 2020 adalah suatu usaha mulia yang harus disokong dan diterjemahkan di dalam tindakan.

Ada 6 teras yang digariskan di dalam PIPP yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah
Haji Ahmad Badawi baru-baru ini bagi memacu insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang berhadapan dengan cabaran pada masa hadapan. Prinsip berkenaan ialah:

1. Membina negara bangsa
2. Membangunkan modal insan
3. Memperkasakan sekolah
kebangsaan
4. Merapatkan jurang pendidikan
5. Memartabatkan profesion
keguruan
6. Melonjakkan kecemerlangan
institusi pendidikan
7. Kualiti Kemanusiaan

Misi nasional bagi menyediakan rakyat yang mempunyai ciri-ciri glokal, patriotik, kaya dengan warisan budaya, berbudi bahasa dan sebuah bangsa yang beradab, sihat mental dan rohaniahnya adalah suatu usaha bersungguh-sungguh kerajaan untuk meningkatkan kualiti kemanusiaan di kalangan rakyat tempatan yang dilihat agak pudar dan tergugat dengan dasar-dasar globalisasi yang semakin ganas memasuki kubu negara kita tanpa belas kasihan lagi. Insiden `pelik’ dan luar biasa menjadi perkara biasa menghiasi dada-dada 
akhbar pada hari ini. Gangguan-gangguan sepanjang masa 24 jam dan setahun cukup menakutkan kita. 

Hanya mereka yang benar-benar mempunyai kualiti diri yang mantap mampu bertahan dan menangkis segala asakan pengaruh globalisasi yang datang dari pelbagai sudut.

Oleh itu PIPP adalah sesuatu yang wajar bagi membentengi masyarakat daripada anasir-anasir luar berkenaan. Cuma bagaimana dengan perlaksanaan pelan ini untuk merealisasikan hasrat besar Perdana Menteri? Bagaimana dengan penyeragaman tindakan di seluruh negara? Saya yakin, yang cepat dilaksanakan ialah pembangunan infrastruktur sekolah sehingga kadang-kadang berlaku pembaziran dengan pertambahan bilangan sekolah dan bilik darjah.

Semuanya tak salah. Tetapi yang paling penting ialah bagaimana perlaksanaan kurikulum pembangunan insan di sekolah? Apakah kita masih mengajar anakanak kita mengejar A daripada mengejar keredhaan Allah?

Bagaimana aplikasi ilmu dapat digunakan dalam tindakan harian? Apakah subjek pendidikan di sekolah menepati sasaran menyediakan manusia yang sempurna? Contohnya subjek Pendidikan Moral, Tatarakyat dan Pendidikan Islam, di manakah kedudukan subjek ini dalam arus pendidikan kita yang berorientasikan
peperiksaan? Apakah ia masih di takuk lama sedangkan inilah subjek teras untuk membina sahsiah manusia tadi.

Keghairahan Mendidik

Selain itu PIPP akan kelihatan tempang jika keghairahan mendidik ini hanya datang dari Kementerian
Pelajaran sedangkan Kementerian lain sedikit pun tidak merasa terpanggil untuk melaksanakan tanggungjawab berkenaan. Paling menakutkan ialah pengaruh media. Siapa yang boleh mengatur dan mengajar pihak media?

Di sekolah, guru mengajar lain tetapi di luar sekolah, media mengajar nilai-nilai baru. Siapa yang boleh mengatur dan mencatur nilai-nilai dalam iklan komersial yang banyak mempengaruhi budaya kanak-kanak kita.

Usaha PIPP harus diimbangi dan digerakkan bersama agensi lain terutama kementerian lain secara bersepadu. Kita perlu tegas dengan dasar pendidikan kebangsaan. Sebenarnya PIPP adalah suatu indeks petunjuk bahawa kerajaan serius untuk menangani keadaan semasa di dalam negara. Jadi ia bergantung sejauh mana pihak lain bersedia memikul tanggungjawab ini. Bahkan dasar-dasar sebelum ini juga sudah begitu baik tetapi aspek perlaksanaan dan pemantauan selalunya menggagalkan perancangan negara.

Tambahan pula perancangan kita berkait rapat dengan aspek kemanusiaan, sudah tentu ia merupakan suatu cabaran yang bukan mudah untuk dilaksanakan tetapi ia bukan mustahil untuk dicapai asalkan semua pihak bersedia menggalas cabaran ini.

No comments: