Tuesday, August 18, 2009

ALLAHYARHAM ASRI RABBANI

Hari khamis ini genaplah seminggu kepulangan adinda Asri Ibrahim ke rahmatullah bertemu dengan kekasih Ilahi yang dirindui selama ini. Beliau telah memenuhi begitu banyak undangan dan undangan kali ini adalah undangan teristimewa dan terakhir buatnya. Namun suaranya masih bergema dan menyelinap ke dalam kalbu sesiapa saja. Asri telah memainkan begitu banyak peranan seorang daie sehinggakan kehilangan beliau sukar dicari ganti ketika ini. Ketokohannya memudahkan rakan-rakan penasyid lain muncul di khalayak ramai. Sesiapa saja akan senang dengan beliau, rasa dihargai dan dilayani sebaik mungkin. Namun kini tugas dan peranan beliau perlu diteruskan oleh rakan-rakan lain sebaik mungkin. Dia seorang ustaz, pendakwah dan penghibur yang mempunyai aura tersendiri dan akan dikenang sampai bila-bila. Nah kini peranannya sudah selesai di atas muka bumi ini. Dia kembali kepada Yang Empunya Kuasa, Allah Rabbuljalil. Ketika rohnya berehat, dterbangkan dan disambut oleh para malaikat, saat mendapat hiburan dari langit, laba dari alunan lagu dendangannya, nasib kita belum tahu. Di antara kita siapa pula yang bakal menyusul beliau pergi tidak kembali lagi.

Kerjasama penerbitan dengan HPA


Banyak yang diperkatakan mengenai kejayaan HPA di dalam mengetuai kebangkitan syarikat pengeluar produk MLM muslim ketika ini. Saya dan rakan-rakan di Galeri Ilmu teruja dengan perkembangan yang cukup membanggakan ini. Pada awal tahun lalu, ketika bertemu dengan tuan Hj Ismail, beliau menyatakan hasrat untuk membangunkan sebuah panggung wayang Islam di Sg Petani. Panggung wayang Islam? Seperti idea-idea yang lain, ia kelihatan mustahil dan pelik namun itulah hakikatnya minda anak muda ini. Saya berkunjung ke Sg Petani, meninjau sebuah kilang lama dan membuat floor design serta anggaran budget seperti yang diminta. Pertemuan itu rupanya disusuli dengan pertemuan lain yang menyuburkan lagi kerjasama antara HPA dan ANIS. Beberapa artikel mengenai perkembangan HPA diterbitkan di dalam majalah ANIS saban bulan.

Perbincangan lanjutan mengenai kerjasama media antara HPA dan Galeri Ilmu akhirnya mencapai kata sepakat ke arah menerbitkan sebuah majalah HERBA - tajuknya PESONA HERBA. Keluaran sulungnya dijangkakan terbit pada januari 2010.