Sesuatu harus dilakukan untuk memantapkan
semula sistem nilai pahala dan dosa di dalam
perkembangan masyarakat hari ini.
Sabda Rasulullah s.a.w, “ buat baiklah kepada kedua ibu bapamu, nescaya anak-anakmu akan
berbuat baik kepadamu.” Ajaran
yang cukup indah bagi mengukuhkan institusi keluarga. Namun timbul pula ukuran
baik yang dituntut oleh Islam yang patut menjadi amalan
anak-anak kepada kedua ibu bapa. Apakah sekadar mengucap salam, bercakap dengan lemah lembut sudah dianggap baik? Atau menghulurkan bantuan wang ringgit kepada ibu bapa dianggap baik dan sesuai dengan tuntutan Nabi.
Memang berbuat baik adalah sesuatu realitif bagi generasi moden
hari ini yang lebih banyak terdedah kepada adab dan tatasusila global,
mengenepikan tata susila `tradisional’ yang menjadi amalan masyarakat dahulu.
Apabila keadaan berubah, anak-anak muda moden yang `kurang’ akhlak dan adabnya
menjadi keluarga muda, suasana peradaban kekeluargaan akan turut berubah.
Kalau dahulu, anak-anak dilatih tidak meninggikan suara di hadapan
ibu bapa tetapi hari ini keadaannya berbeza dan bertentangan dengan amalan
`puak-puak’ global kerana anak-anak perlu diberi `hak’ bersuara dan bercakap,
menyatakan pandangan hatta `halal’ menyanggah keputusan ibu bapa mereka.
Anakanak begini adalah anak-anak genius, moden dan berperadaban tinggi, sesuai
dengan perkembangan dunia moden hari ini. Sebaliknya anak-anak yang mendiamkan
diri, akur dan mengikut telunjuk ibu bapa dianggap pasif dan dimomokkan bakal
menjadi manusia yang tidak berdaya maju.
TERBIASA BIADAP
![]() |
Anak adalah anugerah Allah yang perlu dijaga sebaiknya |
Inilah hakikatnya yang kita sedang lalui kini. Pahala dosa
dipermainkan. Anak-anak `terbiasa’ biadab dengan kedua ibu bapa, tanpa segan
silu mengingkari arahan mereka. Bijak mencari alasan untuk lari daripada
kepungan ibu bapa di rumah. Akhirnya mereka menjadi liar, sampah masyarakat terlibat
dengan pelbagai gejala tidak sihat yang meruntuhkan tamadun sebuah bangsa
berdaulat. Untuk mengembalikan anak-anak yang terbiasa melanggari perintah ibu
bapa, terbiasa melanggar perintah Allah, terkepung di dalam dosa bukanlah kerja
yang mudah.
Bukan mudah untuk mengembalikan Mat Rempit ke laluan yang
sepatutnya. Bukan mudah menyedarkan anak-anak melepak kepada menggunakan masa dengan
baik. Bukan mudah untukmerasionalkan anak-anak yang ponteng ke sekolah. Bukan senang
hendak menyedarkan anak-anak mengenai bahaya merokok dan dadah. Ini semua cabaran
berat dan besar kepada umat Islam yang rasional dan hidup jiwanya. Tidak mudah
menyedarkan mereka. Ini semua adalah bahana kepada kebiasaan `mempermainkan’
dosa-dosa kecil dan besar dalam kehidupan harian anak-anak.
MENGAWAL LEBIH BAIK DARIPADA MENGUBATI
Puaslah kerajaan memikirkan kaedah terbaik untuk memulihkan
anak-anak yang berpenyakit ini. Banyak wang ringgit digunakan untuk kerja-kerja
tidak berfaedah dan merugikan untuk mengubati penyakit anak-anak kita. Namun itulah
hakikatnya, kita sering tertipu dengan keputusan dangkal yang kita lakukan
sendiri. Dosa walaupun kecil lama-lama kalau dibiarkan ia bagaikan wabak,
berjangkit-jangkit sehingga menjadi sopak dan barah. Anak-anak begini
mendatangkan masalah kepada negara. Mereka terdedah kepada pelbagai
anasir-anasir negatif yang dibawa dari luar.
Jadi apakah usaha kita di tahap ini? Apakah yang harus kita
lakukan? Bagi saya apa pun kaedah yang hendak kita laksanakan, ia mestilah
tegas dan berterusan. Ibu bapa perlu ada hak mutlak di dalam rumah tangga.
Mereka ada hak untuk mengatur jadual harian mengikut perspektif Islam. Perlu
dipulangkan kuasa untuk meleraikan kemelut yang ada dan pada masa yang sama
hala tuju pendidikan perlu diperbetulkan segera.
PERLUNYA ILMU KEIBU BAPAAN
Ibu bapa muda pula perlu rumah tangga, menangani anak-anak secara
Islam dan mereka sendiri harus mengamalkan Islam secara total, tidak
mempermain-mainkan ajaran Islam walaupun kecil dosanya. Hari ini di dada akhbar,
`orang-orang’terkenal ini boleh bermain cunggang- cunggit hal-hal dosa dan pahala. Hari
ini berkahwin sebulan dua sudah bercerai. `Pencemaran’ budaya diheboh dan diperbesarkan
dalam media bahkan sikap `tidak apa’ ini dibiarkan sehingga menjadi `kebiasaan’
yang memudaratkan agama. Bukan lagi dedah rambut tetapi pakai baju tak cukup
kain singkat biar pusat dan punggung terjengoi keluar. Ini semua dosa. Ini
semua kesalahan yang berpunca daripada bermain dengan dosa.
Kita perlu kembali kepada asasnya. Kita perlu kembali mengukur
kebaikan dan kebenaran dengan kayu ukur agama. Allah Taala adalah kuasa mutlak
dan telah diturunkan al-Quran dan didatangkan Rasulullah s.a.w untuk memimpin
dan mendidik kita yang bernama manusia iaitu makhluk Allah. Allah yang jadikan kita.
Dan dengan sifat kasih sayang, Allah titipkan panduan sepanjang zaman untuk
manusia merintih jalan, terpimpin dalam kehidupan dunia akhirat. Tetapi mengapa
keadaan tidak berlaku begitu?
Sesuatu harus dilakukan untuk memantapkan semula sistem nilai dosa
pahala di dalam masyarakat hari ini. Kembalilah kepada asas pendidikan Islam
untuk memastikan halatuju kehidupan benar-benar cemerlang, gemilang dan
terbilang. ✻
GLOSARI:
Cunggang-cunggit : tunggang- tunggik. Terjengoi : terjengol atau tersembul.
No comments:
Post a Comment