Ada sesuatu yang sedang
melanda umat Islam secara umumnya di mana-mana dan lebih terasa lagi di negara kita
Malaysia. Sindrom menjadikan surau dan masjid seperti rumah hantu. Gelap dan
tidak ada penggunanya. Penghuninya datang berduyun-duyun pada musim-musim tertentu
sahaja. Dan kemudian ditinggalkan sepi kepada `hantu-hantu’.
 |
Adakah akhirnya rumah kita juaga akan menjadi rumah hantu?? |
Sindrom rumah hantu ini
boleh dikatakan berlaku secara senyap tetapi datang menyerang dengan cepat sehingga
surau dan masjid-masjid disesetengah kawasan gelap di waktu malam dan jauh
sekalilah terdengar azan pada subuh hari. Mungkin sesekali terdengar suara azan
pada waktu Maghrib dan Isyak. Tapi waktu lain seperti Zuhur, Asar dan Subuh,masjid
dan surau-surau berkenaan walaupun terletak di tengah-tengah taman atau
perkampungan dan dikelilingi ratusan rumah, namun tiada langsung hati yang
terdetik untuk mendatanginya.
KIAMAT SUDAH DEKAT
Apa sudah jadi?
Walaupun setiap hari menonton filem Indonesia Kiamat Sudah Dekat, orang tidak
ambil pusingdan sindrom ini merebak bagaikan wabak yang sangat merbahaya.Aduh.
Sebak rasa hati, sayu sesayunya melihat semua ini berlaku di depan mata
sendiri.
Ke mana perginya
sensitiviti umat Islam? Ke mana perginya ahli-ahli ibadah Ramadan? Ke mana
menghilangnyaanak-anak remaja, kaum ibu dan bapa yang memenuhi saf solat
sepanjang Ramadan? Ke mana? Apakah ini ajaran Islam atau ada ajaran baru yangsedang
mengambil tempat di hati umatIslam.
Apakah benar
`hantu-hantu’ akhir zaman sudah merobek ke jantung hati umat sehingga
segala-galanya bertukar 360 darjah? Hantu-hantu ini membawa budaya agama baru
yang mewajibkanke tempat ibadah sebulan sekali dalam setahun. Masa itulah
berdoa dan bertaubat tapi di bulan-bulan lain tidak mengenal Tuannya. Suasana
pengajian yang dahulunya meriah di rumah, surau dan masjid menjadi asing
seasingnya.
Kalau masuk ke
majlis-majlis begini terasa cukup tersisih dan menakutkan. Kita menjadi susah
hati. Ustaz-ustaz yang mengajar pun dapat merasai kelainandan perubahan yang
berlaku.
Mereka mengajar
`seorang diri’ kerana dihadapannya lebih besar ruang kosong daripada ruang yang
diisi oleh jemaah.Orang suka duduk-duduk di belakang.Mencari dinding-dinding
dan tiangtiang masjid untuk bersandar. Guru tercongok di hadapan; bercakap dan mengajar
dalam dua dunia yang sangat asing. Keghairahan menghadiri majlis ilmu tidak ada
lagi seperti yang ditunjukkan apabila mengunjungi majlis-majlis keramaian,
tengok TV dan program-program hiburan.Kalau ditanya di mana silapnya, panjang
alkisahnya. Macam-macam respons dan teori yang kita dengar. Antaranya
menyalahkan pengaruh globalisasi dan ada juga menyalahkan sistem pendidikan
yang tidak melahirkan umat Islam yang beramal tetapi lebih banyak berteori.
Apa sudahjadi?Walaupun setiap hari menontonfilem Indonesia Kiamat Sudah Dekat, orang tidak ambil pusing dan sindrom ini merebak bagaikan wabak yang sangat merbahaya.
LATIH ANAK JADI IMAM
Semasa membuat
penggambaran siridokumentari Syahadah di China, saya melihat ada suatu usaha
yang menarik dilakukan oleh persatuan Islam di sana iaitu mewajibkan kurikulum
melatih anak-anak lelaki menjadi imam.
Bukan jadi imam solat
saja tetapi diajar tentang kepimpinan, public speaking, baca Quran, hafalan,
berorganisasi dan sebagainya bagi melengkapkan sifat kelelakian yang perlu ada
pada jiwa anak lelaki kerana mereka adalah pemimpin masyarakat dan negara pada masa
hadapan. Jadi, anak-anak lelaki ada ilmu tambahan bagi melengkapkan diri
menjelang usia remaja dan seterusnya menjadi ketua keluarga, pemimpin yang akan
menentukan masa depan ummah.
Watak lelaki adalah
watak pemimpin. Pemimpin tidak lahir begitu sahaja kecuali kita yang membentuknya
sejak kecil. Oleh itu anak-anak lelaki mesti mendapat lebih ilmu dalam hal-hal berkaitan
kepimpinan berbanding dengan anak-anak perempuan. Lelaki tetap lelaki dan tetap
jadi pemimpin kepada keluarga, tidak kira dia cemerlang di dalam akademik atau
tidak. Dia mesti jadi imam di rumah, menjadi ketua dalam keluarga.
Dia tidak ada pilihan untuk
menarik diri dan menyerahkan tugas tersebut kepada si isteri. Anak-anak lelaki
perlu mendapat ilmu berbeza dengan anak-anak perempuan supaya mereka memahami
tugas dan tanggungjawab mereka nanti.
Jika hanya diberi
kurikulum yang sama dengan perempuan, ramai anak lelaki akan ketinggalan berbanding
dengan watak perempuan yang rajin belajar dan lebih tekun. Jadi bila tercorot
dalam akademik, mulalah perangai hantu merasuk masuk ke dalam diri mereka.
HANTU DI LUAR SEKOLAH
Apabila masyarakat
hanya memberi penghormatan tinggi kepada yang cemerlang di dalam akademik, maka
anak-anak lelaki tadi memilih untuk menjadi `hantu-hantu’ di luar sekolah, dibayangi
pelbagai perangai tindakan yang bertentangan dengan kehendak masyarakat.
Agama tidak membawa
apa-apa penawar kepada mereka. Ajaran Islam diketepikan dan seakanakan terpisah
dengan kehidupan harian mereka. Sedangkan ajaran Islam mewajibkan si lelaki
untuk solat di masjid. Hatta kalau rumahnya dekat tetapi tidak ke masjid, dari
segi hukum, rumah tersebut boleh dibakar. Tetapi oleh kerana peraturan yang
mewajibkan anak-anak lelaki solat di masjid tidak termasuk di dalam kurikulum pendidikan,
maka jadilah seperti apa yang berlaku sekarang.
Mereka jauh dari masjid
sejak kecil, maka apa alasan bila sudah remaja atau dewasa, mereka perlu
beriktikaf atau solat berjemaah di masjid? Mereka tidak dapat menerima tuntutan
berkenaan. Bagi mereka, sudah cukup kalau nak solat, solat saja di rumah seperti
watak anak-anak perempuan yang memang tidak dituntut untuk solat di masjid.
Jadi lama-kelamaan masjid akan terbiar dan menjadi rumah hantu.
Jadi marilah sama-sama
kita memeriksa keluarga kita, masjid dan surau di kariah kita, apakah penyakit ini
sudah mula merebak atau baru mula hendak berjangkit. Berpakatlah dengan jemaah
yang lain sama ada secara formal ataupun tidak untuk membanteras sindrom ini
dengan segera.
Dan yang paling elok
dan cukup berkesan ialah bermula dengan diri dan anak-anak lelaki kita. Kita
solat berjemaah di masjid. Bawa anak-anak lelaki ke surau atau ke masjid setiap
waktu. Jangan biarkan sindrom rumah hantu hinggap di kariah kita. Banteras
segera sebelum ia menjadi wabak yang sukar dikawal dan seterusnya membawa kecenderungan
yang bertentangan dengan ajaran Rasulullah s.a.w. yang sentiasa menjaga solat
berjemaah dimasjid. ✽
Bawa anak-anak lelaki ke surau
atau masjid setiap waktu. Jangan
biarkan sindrom rumah hantu
hinggap di kariah kita!