Thursday, June 4, 2009

ISLAM ITU INDAH

Saya sering berkata kepada rakan-rakan supaya apa yang kita lakukan untuk Islam dilakukan dengan penuh bersungguh-sungguh dan berkualiti. Hidangan walaupun sedap tetapi jika dihidangkan secara sambil lewa bukan saja menghilangkan selera nak makan tetapi juga boleh menyebabkan orang meluat dan menolak hidangan tersebut. Begitu juga cara yang perlu dilakukan apabila kita hendak menhidangkan Islam kepada masyarakat.

Ia perlu dilakukan dengan hati dan jiwa yang tulus ikhlas dan bersungguh-sungguh. Selalunya umat Islam samada pendakwah, ustaz, pengamal media dsb sebagainya lupa dan tidak menyedari kepentingan Islam dibrandkan mengikut kedudukan dan kepentingan Islam yang mulia dan tinggi di sisi Allah SWT.

Branding atau penjenamaan sesuatu produk, services atau lain-lain kurang diberi perhatian bahkan dinafikan kepentingan nilai penjenamaan terhadap sesuatu produk. Jadi kadang kala walaupun sesuatu produk itu diperlukan oleh masyarakat tetapi kurang perhatian diberikan terhadap penjenamaan menyebabkan ia gagal memikat hati masyarakat. Maka Islam dilihat sebagai kaku dan hambar.

Islam perlu dipromotekan kepada ahli masyarakat secara agresif tanpa mengira masa,wang dan kedudukan. Islam itu Indah. Allah suka kepada keindahan.

Thursday, May 28, 2009

MENGAJAK MANUSIA KE JALAN TAQWA

Berhati-hati dengan kesenangan dan keselesaan kerana sejarah banyak menceritakan kepada kita akan kejatuhan sesebuah organisasi hatta sebuah empayra kerana kemewahan dan kesenangan yang melimpahruah. Jadi kejayaan perjuangan Islam bukan pada besar atau kecilnya organisasi tetapi pada kesatuan hati pendokongnya.

Saya selalu mengingatkan diri saya dan rakan-rakan seperjuangan agar berhati-hati apabila kesenangan mula memagari pergerakan kita. Kita akan mula disisih oleh kesenangan dari berkorban untuk perjuangan. Perjuangan adalah pengorbanan. Kita akan terkorban. Masa terkorban. Namun masa yang terkorban itu adalah habuah dan bekalan untuk kita di akhirat kelak. Wang ringgit perlu dikorbankan. Kita tak ada masa nak relak dan nak santai-santai kerana di luar sana begitu banyak perkara yang perlu dibaiki. Begitu banyak pesakit yang memerlukan rawatan. Ada yang sudah kronik dan ada baru terjebak di dalam konflik berkenaan.

Umat Islam dirasuk dan ditipu oleh musuh-musuh Islam dari pelbagai sudut. Istilah jihad, pengorbanan dan perjuangan disabotaj dan digambarkan suatu aktiviti yang salah, kejam dan melampau. Sedangkan hakikatnya jika semangat jihad dan pengorbanan dicabut keluar dari dada umat Islam, apa akan terjadi kepada masa depan umat Islam? Umat Islam akan jadi pasif, pengecut, dayus dan mementingkan diri sendiri.

Namun hakikat yang harus kita terima ialah pemikiran umat Islam dicemari dan dirosakkan sehingga umat Islam sendiri seakan memusuhi jihad dan perjuangan. Dakwah contohnya dipandang satu aktiviti yang tidak penting dan kononnya membantutkan kemajuan ummah. Hakikatnya bukan begitu, namun kerana dimomok dan dikaitkan dengan aktiviti melampau, akhirnya dakwah di pandang sepi dan merbahaya.

Sindrom malas dan mementingkan diri sendiri sedang menguasai minda orang Islam seluruh dunia. Orang besar kecil selesa bercuti dan bersantai-santai dengan keluarga daripada memikirkan masa depan umat Islam yang sedang teruk diganyang musuh-musuh Islam.

Usaha dakwah, bawa manusia kepada Allah perlu disertai dengan iltizam dan komitmen yang berterusan dari semua lapisan masyarakat. Kita perlu mengorbankan apa saja mengikut bidang-bidang yang kita terajui untuk mengembalikan kedukaan yang semakin mendalam ketika ini.

Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya pastilah kami termasuk orang-orang yang merugi. Surah Al-A'raaf ayat 23.

Bekerja untuk memperbanyakkan jiwa-jiwa taqwa adalah kerja sepanjang hidup kerana ia adalah warisan para Nabi dan para Rasul. Jalan ini adalah jalan yang dirintis dan ditebang tebas oleh para Nabi dan Rasul. Inilah jalan menuju Allah yang Esa. Menyeru manusia ke jalan ini adalah suatu kewajipan, ia adalah suatu jihad dan ia merupakan satu ibadah teras dalam kehidupan seorang muslim.

Bilal pernah ditanya oleh Rasullah SAW, hai Bilal mengapa engkau mendahuluiku masuk ke syurga? Sesungguhnya ketika aku masuk syurga ketika Isra', aku mendengar suara kasutmu di hadapanku. Maka bilal menjawab, wahai Rasulullah, tidak sesekali aku menyeru azan, melainkan terlebih dahulu aku melakukan solat dua rakaat dan tidaklah sesekali aku mengalami hadas, kecuali aku berwudhuk selepasnya dan kemudian mengerjakan solat dua rakaat sebagai kewajipanku kepada Allah.

Kampung buku dalam impian






Tunggu kelahiran sebuah kampung buku.

Tuesday, May 26, 2009

Pesta buku dan kampungbuku

Hari-hari berlalu dengan kerja-kerja yang datang bertimpa-timpa. Banyak yang hendak dilakukan untuk menyemarakkan media Islam. Namun hambatan tugasan melayan tetamu membuat kerja-kerja penulisan tercicir. sesuatu yang tidak baik. Namun itulah hakikatnya yang saya hadapi sejak beberapa tahun terakhir ini. Namun saya bersyukur dikurniakan Allah generasi pewaris anakanda ummu hani yang ligat berkarya. Saya berharap dia menjadi seperti padi semakin lebat buahnya semakin tunduk ia ke bumi. Berkarya untuk mendidik masyarakat namun alangkah baik jika ia lebih dahulu mendidik diri kita.

Seharian menghadiri mesyuarat buku sehingga tertinggal tugas-tugas di AV terutama menjenguk dan bertanya khabar di RTM yang tidak `mesra' lagi dengan produk baru. Saya menaruh harapan untuk menghasil drama-drama Islam namun ruang masih terhad.

Ada orang bertanya mengapa tidak memulakan langkah menerbitkan filem Islam? Ya jawapannya saya sedang berusaha ke arah itu. Semangat dan cita-cita tetap ada. Cuma banyak kengkangan yang perlu saya hadapi.

Mesyuarat pesta buku Frankfurt berlangsung di Maltrade. Pesta buku terbesar dari 14-18 Okt 09. Perbelanjaan hampir mencecah rm 15k namun suatu pelaburan yang baik untuk membawa buku-buku Islam ke peringkat antarabangsa.

Saya bercadang membuat penggambaran Kembara Buku bersama Syeh Munawar dan berharap PNM akan menjadi penerbitnya nanti.

KAMPUNGBUKU WHITE ELEPHANT

Dalam diam-diam, saya dan isteri sedang berusaha mengubah suai kedai di depan rumah untuk dijadikan dangau buku -kalau tak sesuai digunakan kampung buku. Namun konsepnya ialah menjual buku di kampung. Menarik bukan? Tunggu perkembangan dan boleh klik kampungbuku.blogspot.

Tuesday, May 19, 2009

Kota Buku

Petang Semalam 19 Mei, pengistiharan resmi Kota Buku oleh TPM selepas lebih 5 tahun pemain industri buku memperjuangkannya sejak Najib merasmikan penubuhan Dewan Industri Buku Melayu Malaysia.

Semoga industri buku di Malaysia terus semarak.

8.00 mlm. bertemu dengan Sanusi Junid. Ingatannya masih hebat seperti dulu. Masih teringat beliau akan cerita-cerita lama.

Monday, May 18, 2009

Kunjungan sahabat lama major sulaiman

Pagi ini saya dikunjungi sahabat lama major Sulaiman Kutty. Kami berbincang panjang mengenai Bosnia Herzegovina, pertama kali saya menjejakkan kaki ke sana pada tahun 1996 dulu. Sungguh keindahan Bosnia memukau sesiapa saja terutama alam semulajadi tasik, bukit bukau, sungai dan padang ragut ciptaan Allah yang luar biasa.

Ingatan Major apa yang berlaku di sana juga sedang berlaku di negara kita. terhakisnya kuasa otonomi bangsa asal negara berkenaan. Di negara, survival bangsa Melayu tercabar dan tercalar. Orang Melayu berpecah berai dan bangsa lain memberi tekanan yang bukan sedikit.

Bosnia Herzegovina jauh di mata namun realitinya iktibarnya di depan mata.

REMANG SENJA MENJELANG MALAM

Panas sepanjang hari akhirnya menurun sebaik petang semakin lanjut menuju senja. Dan sekejap lagi malam gelap akan menyusul. Itulah diri kita di hujung petang menjelang malam di usia remang-remang senja. Di saat ini banyak yang hendak diselesaikan sementara menunggu malam yang mendatang. Itulah kita di saat begini, apakah seharian berhempas pulas boleh dibawa sehingga ke malam nanti? 

Apakah semua yang dilakukan menjadi ibadah, bekalan kekal abadi di akhirat. Kerja-kerja ditangan masih belum dapat diselesaikan, masih menunggu sentuhanku. Juga perancangan yang perlu terus dilakukan. Sesungguhnya dalam kerdil remang-remang senja terasa masa semakin lewat dan tugas untuk agama Allah semakin mencabar. 

Singa globalisasi menelan dengan rakus apa yang melintas di hadapannya. Tanpa perancangan dan yang paling utama tanpa bantuan Allah SWT, mana mungkin kita berhadapan dengan ledakan budaya baru yang tiris masuk ke dalam jiwa anak-anak muda kita. Sungguh remang senja menjelang malam mengingatkan kita bahawa cabaran besar menunggu kita kerana ketika malam di sini, di barat sana hari masih siang..! Singa-singa sedang kelaparan berkeliaran di mana-mana tanpa sempadan.

Bolehkah engkau tidur dengan nyenyak pada malam ini wahai diri..!