Friday, March 15, 2013

Mentafsir Modal Insan


Hujung tahun kebiasaannya ibu bapa akan mengeluh panjang apabila bebanan perbelanjaan bertambah mendadak. Namun apabila kerajaan mengumumkan Bajet Belanjawan 2008 lalu, ada sedikit kelegaan di pihak ibu bapa. Perbelanjaan persekolahan anakanak nampaknya berkurangan, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini.

Di sebalik penghapusan yuran dan buku teks persekolahan, masih banyak hambatan yang perlu diselesaikan oleh ahli masyarakat terutama perbelanjaan harian yang sukar dikawal.


Peniaga menaikkan harga mengikut citarasa `perut’ saudagar besar yang menjadi orang tengah dan menguasaisumber bahan seperti baja, biji benih, minyak, tepung, makanan dan lain-lain keperluan sepuas rasa. Cas perkhidmatan seperti tol, elektrik, telefon dan air juga meningkat.

Bank saudagar pula menikmati hasil keuntungan tidak masuk akal hasil daripada laba kapitalis yang melampau dan menekan peniaga. Bos-bos menyeksa anak-anak buah
yang gaji mereka bagaikan dicatu untuk membolehkan mereka bertukar-tukar kereta, bertukar-tukar bini, bertukartukar kapal terbang, bertukar-tukar gedung membeli belah sehingga berlaku jurang kekayaan yang sangat ketara antara si ketua dengan anak-anak buah yang bekerja separuh mati.

Tidak cukup dengan tekanan dan himpitan kehidupan masyarakat, kadar jenayah, masalah sosial terus menggila, membadai keharmonian kehidupan masyarakat tidak kira di mana. Kota, desa, taman perumahan, apartmen atau sesiapa saja tidak mengenal kedudukan
akan merasai tempias masalah kegawatan sistem hidup masyarakat pada hari ini, seolah-olah tidak ada jalan penyelesaian ke atas apa yang sedang berlaku.

BAGAIKAN HILANG KAWALAN
Kisah mencuri, merompak, rogol, sumbang mahram dan pelbagai lagi gejala sosial yang tidak masuk akal,walaupun pernah berlaku tapi kini kian berleluasa. Apa sudah jadi? Apakah bajet mesra rakyat dapat mengubati semua ini? Apakah pengurangan cukai, kenaikan gaji dan segala macam peruntukan akan dapat mengurangkan kegelisahan masyarakat seluruh negara?

Barangkali di sebalik kemelut tersebut, usaha meningkatkan nilai modal insan masyarakat adalah suatu langkah yang baik dan sangat dialualukan. Dan itulah yang sepatutnya menjadi fokus sebuah masyarakat yang mahukan pembelaan daripada Allah SWT.

Firman Allah dalam surah Al- A’raf ayat 96 yang bermaksud “ Kalau penduduk satu kampung itu beriman dan bertaqwa, Kami (ALLAH) akan bukakan barakah dari langit dan bumi.”

Saya berpendapat usaha-usaha melahirkan manusia beriman dan bertaqwa belum di lakukan
bersungguh-sungguh dan serius bermula dari peringkat sekolah sehinggalah ke peringkat umum. Saya masih ingat zaman kanak-kanak di kampung dahulu, suasana pondok dan sekolah agama sungguh berbeza dengan apa yang ada pada hari ini.

Anak-anak keluaran sekolah pondok bukan sahaja sahsiah mereka terkawal, namun ilmu pengetahuan mereka dapat dimanfaatkan kepada masyarakat. Mereka pulang bercuti di kampung, ketokohan ilmu mereka boleh diuji dan sekurang-kurangnya akhlak mereka menyejukkan hati ibu bapa.

Ketika ini sama ada kita sedar ataupun tidak, semakin banyak sekolah agama, kolej universiti, fakulti Islam dan universiti yang mengeluarkangraduan Islam pelbagai ilmu, semakin kurang seri pula roh pengamalan Islam di dalam masyarakat. Bahkan sebelah petang anak-anak kita terkejar ke sekolah, belajar kelas Kafa, fardu Ain dan sebagainya tetapi laluannya dirasakan masih berliku-liku. Di mana silapnya?

Apakah kegagalan kita mentafsirkan modal insan menyebabkan kita gagal? Saya sering berkunjung ke sekolahsekolah agama, dan kadang kala diminta berceramah, maklumkan dahulu cikgu di Maahad Hamidiah Kajang, jadi adalah sedikit rasa kekitaan apabila bersemuka dengan sekolah-sekolah agama ini.

Kadangkala balik ke Kedah, ziarah kawan rakan di sekolah agama yang dahulunya sekolah pondok. Sesekali ada juga jemputan ke universiti, bertemu dengan siswa siswi, bertukar fikiran. Memang sesuatu yang cukup menyenangkan apabila berada di dalam situasi tersebut.

‘Kehilangan’
Namun saya dapat rasakan ada sesuatu yang `hilang’ dalam diri para pelajar, pejuang dan petugas agama. Para pelajar mengejar kepandaian akademik seperti sekolah lain juga.

`Pejuang’ di sektor awam, korporat agama mengejar pangkat dan kedudukan seperti sistem perjawatan lain juga. Ketika mereka berlumbalumba untuk lulus `cemerlang’ di dalam karier mereka, si anak pula berkira-kira untuk mendapatkan sebanyak mungkin A dalam subjek-subjek yang diambil di dalam peperiksaan. Semuanya mengenepikan terus `jambangan bunga iman’ seperti semua itu tidak penting `istana’ kehidupan ‘pejuang’ agama yang sepatutnya memikirkan masa depan agama, bangsa dan negara.

Kalau ini berlaku kepada pejuang agama, maksud saya orang-orang yang diberi kelebihan untuk mendekati dan mendalami ilmu Islam, apatah lagi dengan anak-anak yang `asing’ dengan ajaran Islam. Maksud saya anak-anak lulusan sekolah biasa, sekolah umum dan fakulti umum, di mana agaknya akan mengalir rasa beragama, beriman dan bertaqwa dalam diri mereka?

Dari ibu bapa mereka? Dari guru-guru pensyarah mereka? Atau dari hos stesen TV kegemaran mereka, atau daripada siapa sebenarnya kecintaan mereka terhadap agama akan menular dan mendarah daging dalam kehidupan mereka. Apakah mereka akan sayang kepada bangsa, sayang kepada negara mereka ketika Tuhan mereka pun mereka tak kenal dan tak rasa pun Allah melihat apa sedang mereka lakukan.

Jangan harap dan jangan mimpi kecintaan kepada agama, bangsa dan negara itu akan mengalir ikhlas dalam diri dan jiwa anak-anak kita, kalau laluannya terbiar berhutan lalang tidak terurus.

Menyediakan Modal Insan
Cara kita menterjemahkan ilmu pengetahuan dan mentafsir modal insan perlu diperbaiki segera agar ilmu itu boleh menjadikan alat mengubah seluruh sistem yang semakin goyah pada ketika ini. Kita mengharapkan manusia yang baik, modal insannya, jati diri mereka kukuh, tetapi laluan ke arah matlamat yang kita perjuangkan tidak kita usahakan bersungguhsungguh bahkan masih kabur. Saya cukup lemas apabila pihak sekolah agama menjemput saya bersama ibu bapa lain ke sekolah anak saya bagi membincangkan sasaran `A’ yang patut anak saya dapat dan sasaran sekolah tersebut untuk mengekalkan rekod 30 orang mendapat 9A pada tahun lalu. Saya bagaikan nak termuntah!

Masya-Allah mengapa begitu terhina dan terpesongnya hasrat pentadbir sekolah agama? Saya tak kata itu salah tetapi bagaimana rasanya minda anakanak apabila setiap hari cikgu-cikgu akan mengasak dan memotivasi dan mengumpan anak-anak yang pada mulanya datang ke sekolah agama itu ikhlas, bersih, kosong dan minta diisi dengan agama kebenaran tetapi kemudiannya ditukar dengan kepalsuan dan tipu muslihat seolah-olah pangkat A dan angka-angka adalah Islam dan matlamat yang perlu dicapai berbanding dengan pembinaan sahsiah diri dan aspek-aspek modal insan yang sepatutnya diberi keutamaan.

Sebelum ini tidak pula dipanggil ibu bapa untuk membincangkan apa yang patut anak-anak berperanan di rumah, dalam masyarakat? Bagaimana pengisian sahsiah, akhlak, solat berjemaah dan aktiviti kemanusiaan?

Sukarelawan dan pelbagai lagi usahausaha untuk `memanusiakan’ pelajarpelajar yang bersih, jernih dan ikhlas itu? Tidak pula bersusah payah untuk menurunkan ilmu kepimpinan, cara berdakwah, cara mengajak, memimpin dan mendekati golongan yang kurang asas agama.Jadi yang diajar ialah sifat individualistik, sifat untu `menggemukkan’ nafsu sendirisendiri tetapi mengabaikan sifat dan tanggungjawab bermasyarakat. Tidak hairanlah walaupun bertahun-tahun di sekolah berasrama penuh dan sekolah agama pula tetapi apabila balik bercuti, mereka terasing dari masyarakat, menyendiri di dalam bilik, bertemankan video dan komputer. Inilah wajah harapan bangsa terutama anak-anak geliga, pintar yang kita harap dapat menjadi modal insan kepada negara.

Kepada saya sekolah agama adalah medan menyerlah untuk melahirkan seramai mungkin masyarakat contoh yang mantap modal insan mereka. Tetapi jika urusan dasar tidak diselesaikan terutama soal matlamat, pengisian, pengurusan dan pengawalan, sekolah agama juga tidak berupaya untuk melahirkan pelajar yang mampu dibawa ketengah bagi menghadapi situasi semasa masyarakat kita.

Modal insan bukan pada akademik sahaja tetapi insan yang sihat adalah yang mencontohi Rasulullah SAW, mencontohi peribadi para sahabat dan sekurang-kurangnya dididik menghargai segala kurniaan Allah ke atas dirinya, bersyukur dengan nikmat dan berlapang dada dengan ujian Allah SWT.

No comments: