Suatu hari, saya menerima kunjungan sahabat dari kampung
yang datang untuk melihat kerja-kerja penerbitan majalah di pejabat. Saya
kemudian membawanya makan di sebuah gerai terbuka yang menjadi tempat remaja
dan pelajar-pelajar sekolah sekitar Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) lepak dan
minum-minum.
Dia terkejut melihat anak-anak gadis belasan tahun duduk
berborak di gerai itu sambil menghisap rokok, berpakaian nampak pusat dan
‘tembap’ pipi apabila hendak berpisah dan macam-macam gelagat lagi yang
akhirnya membuat selera makan kawan saya itu hilang terbang bersama kepulan
asap rokok anak-anak gadis tersebut.
Saya bertanya, mengapa sampai tak lalu makan? Katanya, dia
memikirkan bagaimana kalau anak-anak gadis yang dilihatnya itu adalah kaum
keluarganya dan ia berlaku di kampungnya di Kedah. Apa yang patut dia buat?
Saya kata, apa yang dia fikirkan itu sebenarnya adalah
kenyataan. Apa yang dia lihat di TTDI juga akan berlaku di ceruk kampung
termasuk di kawasan pedalaman yang mana anak-anak remaja dan gadis-gadis di
sana tidak pernah pun sampai ke Kuala Lumpur. Wajah janggal yang tidak pernah
kita fikirkan selama ini akan muncul dan begitu dekat dengan kita.
Ini gelora globalisasi. Gelora yang melimpah dan
menenggelamkan kampung budaya kita, menenggelamkan kampung bahasa, tatasusila,
meranapkan struktur kekeluargaan yang kita bina atas dasar kasih sayang dan
memusnahkan ukhwah Islamiah. Semuanya dalam sekelip mata bertukar wajah.
Wakah-wajah itu berkembang dengan begitu pantas kerana ‘pentas’ dan
‘showroom’nya berada di mana-mana. Lidah rasmi mereka adalah media terutama TV,
VCD, DVD, internet dam pelbagai lagi yang berkembang selari dengan perkembangan
ICT dunia hari ini.
Lihat setiap hari bagaimana media menghidangkan sesuatu yang
salah kepada kita tetapi kerana hal tersebut berlaku di Barat dan kita sudah
berada di dalam ‘kampung sejagat’, perkara berkenaan sudah tidak terasa janggal
dan pelik lagi. Kisah idola bola sepak yang hidup bebas dengan pasangannya
diketengahkan dan dihidangkan kepada masyarakat kita seolah-olah maksiat itu
bukan lagi kesalahan tetapi kebiasaan kepada generasi pewaris kampung sejagat.
Cantik tetapi kosong |
Kisah pasangan bukan muhrim tinggal serumah juga bukan lagi
dilihat sebagai perkara baru. Tidak lagi dikaitkan dengan dosa pahala. Sudah
jadi seperti ayam dalam reban, tidak peduli jantan betina. Ia dipaparkan secara
bersahaja, seolah-olah mengajak masyarakat mengiayakan begitulah wajah
kehidupan di era globalisasi.
Miskin Wajah
Apa lagi yang boleh kita lakukan kalau hari ini kita sendiri
masih teraba-raba mencari jati diri untuk membina model bangsa bertamadun,
bertelagah sesama sendiri pasal bahasa baku dan tidak baku, bertelagah pasal
lesen TV boleh atau tidak, bertelagah pasal parti, pasal jawatan, pasal
pangkat. Akhirnya jadilah kita miskin wajah kerana wajah yang kita sediakan
tidak cukup mantap untuk berdepan dengan wajah baru. Wajah kita terutama yang
berkaitan dengan polisi dan dasar, sering berubah-ubah. Sekali suasana di dalam
negara berubah, banyak cerita baru akan muncul yang natijahnya menyebabkan ‘wajah’
kita turut tergugat.
Antara sebab miskinnya wajah adalah kerana miskinnya ilmu
pengetahuan dalam masyarakat. Orang lain membaca, meneroka dan mencari ilmu
tetapi kita mencari berapa ‘A’ yang anak kita bakal dapat.
Anak kita dipaksa untuk lulus pelbagai peperiksaan yang
kononnya akan ‘menjamin’ kehidupan masa hadapannya.
Saya pernah didatangi wartawan akhbar yang mahu menulis
artikel mengenai pendidikan sekolah agama di negara kita. Dia bertanya mengapa
saya menghantar anak-anak saya ke sekolah agama, sedangkan di sekolah agama
juga ada kes disiplin yang setara dengan sekolah biasa.
Saya kata kepadanya, apa yang saya mahu sebagai seorang bapa
ialah saya hendak anak-anak saya ada wajah sendiri yang bertunjangkan akidah
Islam. Saya tidak mengimpikan yang lain, Cuma bila masuk waktu solat, dia tahu
mencari masjid dan solat berjemaah. Kerana Allah Taala menjamin bahawa solat
boleh mencegah kejahatan. Solat berjemaah menjadi jalan mengembangkan tautan
kasih sayang. Dengan erti kata lain solat adalah senjata, pendinding, pendorong
dan cermin diri kepada seseorang untuk menjadi ahli masyarakat dan hamba Allah
yang sentiasa merasakan dirinya dalam pemerhatian Allah Taala.
Malang sungguh kita pada hari ini apabila ‘ikan-ikan’ dalam
kolam kita mula berenang ke dalam akuarium orang lain, terpikat dengan makanan,
rumput-rampai, dan batu-batan yang berwarna-warni yang kelihatan cukup menarik.
Lalu berlakulah ‘breakaway’-lepas bebas dari tradisi dan lupa kepada jati diri.
Sampai bilakah kita akan terus diruntun untuk terjun ke dalam kolam seribu
wajah yang melarutkan wajah sebuah bangsa beragama dan berdaulat?
Adakah kita semua akan ke akuarium? |
No comments:
Post a Comment