Monday, May 18, 2009

REMANG SENJA MENJELANG MALAM

Panas sepanjang hari akhirnya menurun sebaik petang semakin lanjut menuju senja. Dan sekejap lagi malam gelap akan menyusul. Itulah diri kita di hujung petang menjelang malam di usia remang-remang senja. Di saat ini banyak yang hendak diselesaikan sementara menunggu malam yang mendatang. Itulah kita di saat begini, apakah seharian berhempas pulas boleh dibawa sehingga ke malam nanti? 

Apakah semua yang dilakukan menjadi ibadah, bekalan kekal abadi di akhirat. Kerja-kerja ditangan masih belum dapat diselesaikan, masih menunggu sentuhanku. Juga perancangan yang perlu terus dilakukan. Sesungguhnya dalam kerdil remang-remang senja terasa masa semakin lewat dan tugas untuk agama Allah semakin mencabar. 

Singa globalisasi menelan dengan rakus apa yang melintas di hadapannya. Tanpa perancangan dan yang paling utama tanpa bantuan Allah SWT, mana mungkin kita berhadapan dengan ledakan budaya baru yang tiris masuk ke dalam jiwa anak-anak muda kita. Sungguh remang senja menjelang malam mengingatkan kita bahawa cabaran besar menunggu kita kerana ketika malam di sini, di barat sana hari masih siang..! Singa-singa sedang kelaparan berkeliaran di mana-mana tanpa sempadan.

Bolehkah engkau tidur dengan nyenyak pada malam ini wahai diri..!

No comments: