Tuesday, November 26, 2013

Kembali bersiaran

salam
InsyaAllah esok lusa ruangan ini akan bersuara semula.



Friday, March 15, 2013

Mentafsir Modal Insan


Hujung tahun kebiasaannya ibu bapa akan mengeluh panjang apabila bebanan perbelanjaan bertambah mendadak. Namun apabila kerajaan mengumumkan Bajet Belanjawan 2008 lalu, ada sedikit kelegaan di pihak ibu bapa. Perbelanjaan persekolahan anakanak nampaknya berkurangan, tidak seperti tahun-tahun sebelum ini.

Di sebalik penghapusan yuran dan buku teks persekolahan, masih banyak hambatan yang perlu diselesaikan oleh ahli masyarakat terutama perbelanjaan harian yang sukar dikawal.


Thursday, February 21, 2013

Bersama Hjh Norjannah Mohd Salleh dan imam muda untuk khabar Haji

Berdiri di tengah hj Izelan Basar, Pengurus saluran Astro Oasis

Sebelum berangkat, bersama staf dan tetamu ustaz Lutfi, kolumnis GIMG
Sejak beberapa malam, saya terkenangkan detik-detik manis menyempurnakan tugas di tanah suci membuat liputan secara langsung musim haji bersama Khabar Haji Astro Oasis 2010. Kini pada 2013 kami memulakan langkah awal bersama team Astro Oasis meneroka pasaran baru dalam media tanahair dan bakal lahir rancangan baru berkonsepkan Islamic current affair mulai April 2013. Terima kasih pengurusan Astro yang memberi kepercayaan kepada Layar Consult terlibat di dalam projek mengantarabangsakan program tempatan.

WAKAF LOT KOLUM MAJALAH

Malam Jumaat, ditemani bacaan yassin, diri tenggelam dalam tugas dan tanggungjawab memastikan produk Galeri terus tiba ke pangkuan pembaca dan kemudian tersebarluas ke dada masyarakat yang semakin kalut melayan kehendak nafsu yang tidak ada batas kemahuannya. Sudah tentu ini bukan tugas mudah dan bukan tanggungjawab biasa. Ini tanggungjawab dakwah.
Cabaran media dakwah memerlukan sokongan padu semua pihak terutama hartawan yang beriman dan bertaqwa. Majalah dan buku-buku adalah lot-lot wakaf, sumber jariah yang mempunyai implikasi besar kepada masyarakat.
Kami di Galeri Ilmu menyediakan saluran untuk penderma dan penyumbang untuk sama-sama tampil menyediakan dana yang cukup agar bahan-bahan dakwah dapat disampaikan kepada masyarakat tepat pada masa dan sesuai dengan semua peringkat.
Kita perlu ada anjakan baru walaupun penentang Islam lebih awal menyediakan dana yang kukuh mantap bagi menyokong usaha-usaha dakyah mereka ke seluruh pelusuh dunia. Hartawan mereka `pemurah' dan bersedia `berkorban' dan sudah sampai masanya kita menyedarkan jutawan Islam untuk menjadi pemangkin kepada penerbitan dakwah yang sedang Galeri Ilmu perjuangkan.

Mudah-mudahan malam Jumaat 21/2/13 bersamaan 10 Rabiulakhir 1434 ini menjadi kenyataan suatu hari nanti.

Wednesday, January 30, 2013

Berkawan Biar Betul-betul


Buatlah yang baik-baik kepada kawan kita dan ajak mereka dekatkan diri pada kebaikan menggunakan kaedah yang penuh hikmah.

Tanda Allah sayangkan kita ialah apabila kita diuji dan ujian itu mendekatkan diri kita kepada-Nya. Ketika diuji kita ingat Allah. Kita sebut dan puji Allah. Kita beristighfar banyak-banyak apabila diuji, kena musibah dan berada di dalam kesusahan. Ujian susah... mungkin tak sama kesusahan anak dengan emak atau ayah, bahkan dengan tuk wan dan nenek di kampung.

Darjah kesusahan itu berbeza. Tuk dan tuk wan perlu bergelumang dengan hutan rimba sebelum mendapat tanah untuk dibuat rumah. Namun kita di zaman ini, kesusahan kita tidak terarah ke situ. Mungkin susah nak mengawal nafsu kita. Semua perkara ada di hadapan mata kita. Ada wang apa pun boleh jadi, kata orang. Tetapi benarkah begitu? Ramai yang terpedaya dengan wang dan akhirnya terjebak dengan perkara yang tak elok, membazir dan membuat dosa.

Sunday, January 27, 2013

Bah Besar dan PIP



Apakah kita masih mengajar anak-anak kita mengejar A daripada mengejar keredhaan Allah?



Awal tahun, ibu bapa sibuk menyelesaikan urusan persekolahan anak-anak. Ada yang berpindah ke tempat baru, memasuki asrama atau baru melangkah ke alam persekolahan.

Sekurang-kurangnya menyelesaikan keperluan asas anak-anak pada awal tahun seperti menyediakan pakaian, alat tulis dan membayar yuran-yuran persekolahan berkaitan. Nun di selatan tanah air, saudara-saudara kita di Johor pula bergelut dengan air banjir luar biasa yang mengakibatkan banyak kawasan kelihatan seperti kawah besar yang dipenuhi air.

Ujian pada awal tahun ini memerlukan kesabaran, ketenangan, keredhaan yang tinggi; menerima hakikat kejadian yang Allah datangkan sebagai ujian di dalam kehidupan. Jika kita sabar dan redha, di situlah ada kemanisan iman, peningkatan takwa seorang hamba yang Allah kurniakan di sebalik limpahan air yang luar biasa itu.

Sejauh mana tarbiah agama yang diberikan kepada anak-anak kita?

Monday, January 21, 2013

Kembali Kepada Asas!


Sesuatu harus dilakukan untuk memantapkan
semula sistem nilai pahala dan dosa di dalam
perkembangan masyarakat hari ini.

Sabda Rasulullah s.a.w, “ buat baiklah kepada kedua ibu bapamu, nescaya anak-anakmu akan berbuat baik kepadamu.” Ajaran yang cukup indah bagi mengukuhkan institusi keluarga. Namun timbul pula ukuran baik yang dituntut oleh Islam yang patut menjadi amalan anak-anak kepada kedua ibu bapa. Apakah sekadar mengucap salam, bercakap dengan lemah lembut sudah dianggap baik? Atau menghulurkan bantuan wang ringgit kepada ibu bapa dianggap baik dan sesuai dengan tuntutan Nabi.

Memang berbuat baik adalah sesuatu realitif bagi generasi moden hari ini yang lebih banyak terdedah kepada adab dan tatasusila global, mengenepikan tata susila `tradisional’ yang menjadi amalan masyarakat dahulu. Apabila keadaan berubah, anak-anak muda moden yang `kurang’ akhlak dan adabnya menjadi keluarga muda, suasana peradaban kekeluargaan akan turut berubah.

Kalau dahulu, anak-anak dilatih tidak meninggikan suara di hadapan ibu bapa tetapi hari ini keadaannya berbeza dan bertentangan dengan amalan `puak-puak’ global kerana anak-anak perlu diberi `hak’ bersuara dan bercakap, menyatakan pandangan hatta `halal’ menyanggah keputusan ibu bapa mereka. Anakanak begini adalah anak-anak genius, moden dan berperadaban tinggi, sesuai dengan perkembangan dunia moden hari ini. Sebaliknya anak-anak yang mendiamkan diri, akur dan mengikut telunjuk ibu bapa dianggap pasif dan dimomokkan bakal menjadi manusia yang tidak berdaya maju.

TERBIASA BIADAP

Anak adalah anugerah Allah yang perlu dijaga sebaiknya

Inilah hakikatnya yang kita sedang lalui kini. Pahala dosa dipermainkan. Anak-anak `terbiasa’ biadab dengan kedua ibu bapa, tanpa segan silu mengingkari arahan mereka. Bijak mencari alasan untuk lari daripada kepungan ibu bapa di rumah. Akhirnya mereka menjadi liar, sampah masyarakat terlibat dengan pelbagai gejala tidak sihat yang meruntuhkan tamadun sebuah bangsa berdaulat. Untuk mengembalikan anak-anak yang terbiasa melanggari perintah ibu bapa, terbiasa melanggar perintah Allah, terkepung di dalam dosa bukanlah kerja yang mudah. 

Bukan mudah untuk mengembalikan Mat Rempit ke laluan yang sepatutnya. Bukan mudah menyedarkan anak-anak melepak kepada menggunakan masa dengan baik. Bukan mudah untukmerasionalkan anak-anak yang ponteng ke sekolah. Bukan senang hendak menyedarkan anak-anak mengenai bahaya merokok dan dadah. Ini semua cabaran berat dan besar kepada umat Islam yang rasional dan hidup jiwanya. Tidak mudah menyedarkan mereka. Ini semua adalah bahana kepada kebiasaan `mempermainkan’ dosa-dosa kecil dan besar dalam kehidupan harian anak-anak.

MENGAWAL LEBIH BAIK DARIPADA MENGUBATI

Puaslah kerajaan memikirkan kaedah terbaik untuk memulihkan anak-anak yang berpenyakit ini. Banyak wang ringgit digunakan untuk kerja-kerja tidak berfaedah dan merugikan untuk mengubati penyakit anak-anak kita. Namun itulah hakikatnya, kita sering tertipu dengan keputusan dangkal yang kita lakukan sendiri. Dosa walaupun kecil lama-lama kalau dibiarkan ia bagaikan wabak, berjangkit-jangkit sehingga menjadi sopak dan barah. Anak-anak begini mendatangkan masalah kepada negara. Mereka terdedah kepada pelbagai anasir-anasir negatif yang dibawa dari luar.

Jadi apakah usaha kita di tahap ini? Apakah yang harus kita lakukan? Bagi saya apa pun kaedah yang hendak kita laksanakan, ia mestilah tegas dan berterusan. Ibu bapa perlu ada hak mutlak di dalam rumah tangga. Mereka ada hak untuk mengatur jadual harian mengikut perspektif Islam. Perlu dipulangkan kuasa untuk meleraikan kemelut yang ada dan pada masa yang sama hala tuju pendidikan perlu diperbetulkan segera.

PERLUNYA ILMU KEIBU BAPAAN

Ibu bapa muda pula perlu rumah tangga, menangani anak-anak secara Islam dan mereka sendiri harus mengamalkan Islam secara total, tidak mempermain-mainkan ajaran Islam walaupun kecil dosanya. Hari ini di dada akhbar, `orang-orang’terkenal ini boleh bermain cunggang- cunggit hal-hal dosa dan pahala. Hari ini berkahwin sebulan dua sudah bercerai. `Pencemaran’ budaya diheboh dan diperbesarkan dalam media bahkan sikap `tidak apa’ ini dibiarkan sehingga menjadi `kebiasaan’ yang memudaratkan agama. Bukan lagi dedah rambut tetapi pakai baju tak cukup kain singkat biar pusat dan punggung terjengoi keluar. Ini semua dosa. Ini semua kesalahan yang berpunca daripada bermain dengan dosa.

Kita perlu kembali kepada asasnya. Kita perlu kembali mengukur kebaikan dan kebenaran dengan kayu ukur agama. Allah Taala adalah kuasa mutlak dan telah diturunkan al-Quran dan didatangkan Rasulullah s.a.w untuk memimpin dan mendidik kita yang bernama manusia iaitu makhluk Allah. Allah yang jadikan kita. Dan dengan sifat kasih sayang, Allah titipkan panduan sepanjang zaman untuk manusia merintih jalan, terpimpin dalam kehidupan dunia akhirat. Tetapi mengapa keadaan tidak berlaku begitu?

Sesuatu harus dilakukan untuk memantapkan semula sistem nilai dosa pahala di dalam masyarakat hari ini. Kembalilah kepada asas pendidikan Islam untuk memastikan halatuju kehidupan benar-benar cemerlang, gemilang dan terbilang.

GLOSARI: Cunggang-cunggit : tunggang- tunggik. Terjengoi : terjengol atau tersembul.